Lompat ke kandungan utama
Tanya Sumud

Selain flotilla, apa lagi yang GSF buat?

· 10 Mei 2026

GSF sebenarnya jauh lebih luas daripada apa yang biasa dilihat di skrin. Apabila orang menyebut "flotilla", mereka biasanya membayangkan kapal, padahal misi laut itu hanyalah satu lapisan sahaja daripada beberapa tindakan yang berjalan serentak.

  1. Konvoi darat antarabangsa

Sebuah konvoi darat (Sumud Convoy) bergerak melintasi negara-negara Afrika Utara termasuk Mauritania, Algeria, Tunisia, Libya, dan Mesir, menuju pintu Rafah. Pada Mei 2025, konvoi pertama bertolak dari Tunis dengan 150 kereta dan 20 bas, disertai delegasi dari seluruh rantau. Pada Spring 2026, GSF mengerakkan armada laut lebih 100 buah kapal, dan konvoi darat dengan trak bantuan yang dijadualkan tiba di Gaza serentak, supaya tekanan datang dari darat dan laut pada waktu yang sama.

  1. Misi pakar pelbagai bidang

Bukan sekadar penghantaran bantuan satu kali. Misi GSF membawa pasukan profesional yang dirancang untuk turun bekerja di darat: doktor, jururawat, pembina ekologi, penyiasat jenayah perang, dan pelindung awam tanpa senjata. Tujuannya kehadiran awam yang berterusan, termasuk membantu memulihkan sistem penjagaan kesihatan dan infrastruktur asas.

  1. Tindakan undang-undang dan rekod bukti

Setiap pemintasan kapal di perairan antarabangsa, setiap penahanan aktivis, dan setiap penyitaan harta direkod secara terperinci untuk dijadikan bahan bukti dalam prosiding antarabangsa, termasuk di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Banyak peserta sendiri adalah ahli parlimen, peguam, dan pemantau hak asasi yang membawa pengalaman ini pulang ke institusi negara masing-masing.

  1. Mobilisasi global terkoordinasi

GSF mengoordinasi delegasi tempatan di lebih 100 negara termasuk himpunan, kempen kesedaran, dan tindakan langsung. Termasuk dalam rangkaian yang sama: pekerja pelabuhan di Barcelona yang enggan memuatkan senjata, dan mahasiswa yang menduduki universiti di pelbagai negara sebagai sebahagian daripada gerakan solidariti yang sama.

  1. Tekanan diplomatik secara berkesan

Setiap kali warganegara sesebuah negara ditahan dalam misi ini, kerajaan negara itu mesti bertindak termasuk kenyataan rasmi, panggilan kepada duta, atau prosedur diplomatik. Ini menjadikan setiap pemintasan secara automatik satu peristiwa diplomatik berskala antarabangsa, melibatkan puluhan negara serentak.

  1. Kerjasama dengan badan kemanusiaan global

GSF berkoordinasi dengan Bulan Sabit Merah di sepanjang laluan konvoi darat. Greenpeace turut menyertai misi 2026 dengan kapal mereka sendiri, manakala Amnesty International memantau dan mendokumenkan hak asasi peserta.

Ini sebabnya cara biasa membincangkan GSF, sebagai "kapal yang dipintas Israel", sebenarnya menyembunyikan lebih banyak perkara daripada ia tunjukkan. Flotilla itu hanyalah komponen yang paling jelas, kerana paling dramatik. Bahagian yang paling besar daripada gerakan ini berlaku di darat, di mahkamah, di parlimen, di pelabuhan, dan di pejabat duta iaitu di tempat-tempat yang tidak menarik kamera, tetapi membentuk tekanan jangka panjang.

Ironisnya, tepat kerana sebahagian besar kerja itu tidak kelihatan, mudahlah orang menganggap GSF "hanya flotilla", dan flotilla "hanya wayang". Tetapi wayang itu cuma adegan terbuka. Penulis skrip, pengarah, jurutera, dan ratusan pekerja teknik, semuanya bekerja di belakang tabir, tanpa lampu sorot, dan jauh sebelum tirai pertama dinaikkan.


← Kembali