Apa beza Palestin, Gaza, dan Tebing Barat?
Tiga istilah yang sering digunakan bertukar-ganti, padahal merujuk kepada tiga perkara yang berbeza. Mengenal perbezaannya bukan soal kecil, kerana sukar untuk berbincang, atau menolong, jika nama tempat itu sendiri pun masih kabur.
Palestin adalah istilah paling luas, merujuk kepada negara dan bangsa Palestin secara keseluruhan. Negara Palestin diisytiharkan sejak 1988, dan kini diiktiraf oleh 146 daripada 193 negara anggota PBB. Yang perlu difahami: wilayah Palestin terdiri daripada dua kawasan utama yang tidak bersambung secara geografi, Gaza dan Tebing Barat. Antara keduanya, ada tanah yang kini dikuasai Israel. Sebab itulah seseorang tidak boleh memandu dari Gaza ke Tebing Barat tanpa merentasi sempadan.
Gaza ialah jalur pesisir kecil di Laut Mediterranean, kira-kira 365 kilometer persegi, lebih kurang sebesar Pulau Pinang, tetapi dihuni oleh sekitar 2.3 juta orang. Bersempadan dengan Mesir di selatan (di pintu Rafah), Israel di utara dan timur, dan laut di barat. Sejak 2007, ia berada di bawah sekatan dari darat, laut, dan udara, pergerakan barang dan orang dikawal sepenuhnya oleh pihak luar.
Tebing Barat (West Bank) pula adalah kawasan jauh lebih besar, sekitar 5,860 kilometer persegi, tidak bersempadan laut, terletak di sebelah timur Israel dan barat Sungai Jordan (dari situlah namanya, ia adalah "tebing barat" sungai tersebut). Sejak 1967, kawasan ini berada di bawah pendudukan tentera, yang disahkan haram di sisi undang-undang antarabangsa oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2024. Populasinya sekitar 3 juta orang Palestin, hidup berselang-seli dengan ratusan ribu peneroka haram Israel dalam petempatan yang turut dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa.
Beberapa perbezaan penting di luar geografi:
Dari segi pemerintahan, sejak 2007, Gaza ditadbir oleh Hamas manakala Tebing Barat ditadbir oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang dipimpin Fatah, dua kumpulan yang bukan sahaja terpisah secara geografi, malah terbelah secara politik.
Dari segi bentuk krisis, Gaza mengalami pengeboman, sekatan, dan kelaparan dalam skala besar yang menarik perhatian dunia. Tebing Barat pula menderita dalam diam, pengembangan petempatan, pengusiran keluarga demi keluarga, dan keganasan peneroka haram yang berjalan dengan kadar yang stabil tetapi jarang dilaporkan.
Ringkasnya: Palestin ialah keseluruhan; Gaza dan Tebing Barat adalah dua bahagiannya yang berasingan secara geografi dan berbeza secara politik, tetapi menanggung tekanan daripada arah yang sama. Yang berbeza hanyalah 'pace' dan publisiti.
← Kembali