Lompat ke kandungan utama
Tanya Sumud

Gaza boleh dimasuki melalui darat, tetapi mengapa misi kemanusiaan seperti Global Sumud Flotilla terpaksa mengambil risiko yang sangat tinggi menggunakan laluan laut?

· 11 Mei 2026

Memang benar Gaza sudah sedia terhubung dengan dunia luar melalui pintu sempadan darat (seperti sempadan Rafah di Mesir dan Kerem Shalom/Karem Abu Salem di sempadan wilayah jajahan rejim zionis). Namun, hakikatnya pintu-pintu sempadan ini tidak beroperasi seperti sempadan negara biasa. Akses darat ini dikawal, dimanipulasi, dan dijadikan senjata secara bersistematik oleh rejim zionis laknatullah.

Oleh sebab itu, laluan laut bukan sekadar pilihan rawak, tetapi satu keperluan logistik yang terdesak dan kenyataan advokasi antarabangsa atas faktor-faktor berikut:

1. Birokrasi Kelulusan yang Menyeksa: Kemasukan lori-lori bantuan melalui darat sering berhadapan dengan proses birokrasi yang sangat rumit dan sengaja dilambatkan. Terdapat ribuan lori bantuan kemanusiaan antarabangsa yang terpaksa beratur panjang berbelas-belas kilometer, menunggu berhari-hari, berminggu-minggu, malah berbulan-bulan di bawah panas terik sempadan semata-mata untuk mendapatkan pelepasan masuk. Penutupan pintu sempadan secara tiba-tiba tanpa notis juga adalah satu kebiasaan.

2. Pemeriksaan dan Syarat Penolakan yang Tidak Masuk Akal: Setiap barang yang ingin dibawa masuk akan melalui pemeriksaan keselamatan berlapis yang sangat ketat di bawah polisi barangan 'dwi-penggunaan' (dual-use). Alasan ini sering disalah guna untuk menolak barangan kritikal kemanusiaan.

  • Contoh Penolakan: Barangan seperti penapis air, panel solar, gunting perubatan di dalam kit kecemasan, ubat bius, tiang khemah, malah alat mainan kanak-kanak kerap ditolak secara rawak atas alasan "ancaman keselamatan".
  • Polisi Patah Balik: Paling zalim, jika hanya satu barang di dalam sebuah lori ditolak, seluruh lori tersebut akan diarahkan berpatah balik ke titik permulaan, mengulangi proses pemeriksaan dari sifar.

3. Lambakan Bantuan Rosak (Krisis Logistik Makanan): Akibat penangguhan yang melampau ini, bantuan yang dihantar sering rosak sebelum tiba kepada penerima. Beribu-ribu tan makanan segar rosak dan membusuk, manakala bekalan perubatan melepasi tarikh luput di padang pasir, ketika jutaan rakyat di dalam Gaza sedang menderita kebuluran tahap bencana hanya beberapa kilometer dari lori-lori tersebut.

4. Simbol Advokasi dan Pemecahan Sekatan Maritim: Lebih daripada sekadar penghantaran fizikal, misi Global Sumud Flotilla membawa mesej advokasi yang sangat besar. Menggerakkan ratusan peserta dari pelbagai latar belakang dan negara merentasi perairan antarabangsa (seperti di Laut Mediterranean) merupakan satu cabaran berani terhadap sekatan haram. Walaupun berdepan risiko tinggi dipintas, diganggu komunikasi, atau diserang oleh tentera laut, misi ini membuktikan kepada dunia bahawa komuniti antarabangsa tidak akan tunduk kepada pengepungan yang tidak berperikemanusiaan ini, dan rakyat Gaza berhak ke atas pintu sempadan mereka sendiri sama ada darat, udara dan laut.


← Kembali